Pages

Saturday, December 4, 2010

TIPS BELAJAR


Kecut perut? Hilang selera makan? Tidur tidak lena? Hilang fokus?
Ini merupakan simptom-simptom serangan examinitis yang selalunya menyerang kawasan kota dan bandar-bandar besar di seluruh dunia.
Penyakit ini tidaklah begitu kronik jika mahu diukur dengan skala kemanusian seperti mana yang dihadapi oleh sebahagian manusia di Palestin, Darfur, Iraq, Filipina, Selatan Thailand dan banyak lagi.
Apatah lagi jika mahu dinilai dengan neraca Ilahi yang mana sesiapa yang mengidapnya akan dirawat di bahagian pesakit luar. Namun setiap yang kecil jika tidak disikapi dan dihadapi dengan cara yang sepatutnya boleh mendatangkan kesan yang amat memudaratkan.
Begitu juga dengan penyakit examinitis ini.
Malahan keaadaan pesakit akan bertambah buruk sekiranya tidak menyedari akan terdapatnya penyakit ini pada dirinya sepertimana keadaan manusia pada hari ini yang kebanyakkannya tidak menyedari akan kesakitan yang mereka hadapi yang menyebabkan mereka terus menerus berada di dalam kesengsaraan. Maka di sini disertakan maklumat lanjut tentang examinitis dan cara menghadapinya.
Nama saintifik :
Examinitis
Golongan sasar yang mudah dijangkiti :
Semua golongan yang berada di institusi-institusi pendidikan terutamanya golongan muda yang berumur 17-26 tahun
Most vulnerable :
1. Pelajar tajaan yang mempunyai perjanjian dengan penaja
2. Ciri-ciri lain yang tidak dapat disenaraikan
Tanda-tanda awal :
1. Sudah tidak PD (baca PeDe atau mudahnya percaya diri)
o Tidak mendapat keputusan yang diharapkan
o Mencuba tetapi masih merasa hampa
o Gagal mengesani punca yang membawa kepada hilang percaya diri
o Tertekan dengan expectation masyarakat (baca bisikan halus dari dalam diri yang mendatangkan gambaran-gambaran negatif)
2. Dan lain-lain lagi yang sukar untuk diperkatakan namun mudah untuk digambarkan
Bagi sesiapa yang mengidapnya, di sini disertakan beberapa kaedah rawatan tradisional yang tidak luput ditelan zaman semenjak ratusan tahun yang lampau.
1. Ambil wudhu dan mulakan analisa diri secara telus dan tulus
o Berikut disertakan sebahagian checklist analisa;
• Keikhlasan niat dan perbuatan
• Usaha yang tersusun dan berterusan
• Kefahaman akan konsep usaha dan tawakal
• Kefahaman terhadap keperluan dan pergantungan kepada Allah
2. Memahami bacaan dalam solat dan zikir al-mathurat sebagai contohnya ayat 286 surah Al-Baqarah :
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata):
"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

Orang Kaya Dan Orang Miskin


Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.
Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.
Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar diluar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.
"Nak apa?!"
Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."
Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!
"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!"
Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.
Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!
Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!
"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.
"Kenapa ni? Gila?!"
"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit," dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.
Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.
Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..
Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.
"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?"
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak."
Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.
"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.
Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

Cinta Itu Seperti Garam


Amir dan isterinya sedang berada di dapur.
"Abang, sayang minta maaf kerana abang yang terpaksa memasak pada hari ini."
Amir tersenyum.
"Sayang sudah masakkan makanan yang sedap untuk abang hampir setiap hari. Kali ini, biarlah abang pula yang memasak untuk sayang. Sayangkan demam, sayang berehatlah."
Aisyah berkata,
"Tugas memasak, abang serahkanlah kepada Aisyah. Abang sudah seharian bekerja untuk mencari rezeki. Kini giliran Aisyah pula untuk melayani abang. Memasak dan melayan abang adalah kerehatan untuk Aisyah."
Amir berkata,
"Malam ini, biarlah abang yang memasak untuk Aisyah. Bukan selalu Aisyah dapat merasa masakan abang. Aisyah bimbang masakan abang tidak sesedap masakan Aisyah?"
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Masakan abang tentulah sedap, tetapi tidaklah sesedap masakan Aisyah."
Amir tersenyum dan membalas,
"Masakan abang makin bertambah sedap. Selepas ini Aisyah akan merayu-rayu meminta abang supaya memasak untuk Aisyah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Aisyah tahu, abang memasak menggunakan perencah kasih sayang, sebab itulah masakan abang makin bertambah sedap."
Amir tersenyum dan bertanya kepada Aisyah.
"Sayang, berapa banyak garam yang perlu abang masukkan ke dalam masakan ini?"
Aisyah menjawab,
"Abang masukkanlah garam dengan secukup rasa. Jangan terlalu banyak dan jangan terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Boleh sayang tolong abang untuk masukkan garam ke dalam masakan ini? Abang terpaksa mengalah, sayang lebih pakar dalam hal memasak berbanding abang."
Aisyah tersenyum dan menolong suaminya.
"Abang tahu kenapa kita kena masukkan garam dengan secukup rasa sahaja? Kenapa tidak boleh terlalu banyak atau tidak boleh terlalu sedikit."
Amir menjawab,
"Tukang masak profesional mahu menguji abang, ya? Kalau terlebih garam, masakan akan jadi masin dan kalau terkurang garam pula masakan akan jadi tawar."
Aisyah tersenyum.
"Kalau garam perlu dimasukkan dengan secukup rasa, bagaimana pula dengan cinta?"
Amir tersenyum dan menjawab,
"Abang mungkin kalah dengan Aisyah dalam hal memasak, tetapi abang tidak mahu kalah dengan Aisyah dalam soal cinta."
Aisyah tersenyum dan Amir meneruskan kata-katanya,
"Abang berikan cinta abang kepada Aisyah dengan secukup rasa. Cinta yang abang berikan kepada Aisyah, tidak lebih dan tidak kurang. Semoga cinta antara abang dan Aisyah tidak akan melalaikan kita daripada mengingati Allah."
Aisyah tersenyum dan berkata,
"Abang memang pakar dalam bercinta. Makin hari, makin Aisyah cinta kepada abang. Kadang-kadang, Aisyah rasa abang adalah pakar bius. Aisyah dibius cinta."
Amir tersenyum.
"Nasib baik abang tidak menjadi doktor. Kalau tidak, ramai pula pesakit yang terbius dengan bius cinta abang."

BIBIT CINTA TERAGUNG

Hari-hari yang ku lalui penuh dugaan. Sebagai pelajar agama, dugaan 'virus merah jambu' menjadi salah satu faktor aku bermuram durjana. Pergi ke sekolah dengan keadaan tidak selesa dan muka masam mencuka. Kawan-kawanku ada juga yang bertanya. Pernyataan mereka tidakku jawab. Aku hanya mendiamkan diri. Biarlah rahsia.